Monday, November 3, 2008

HATI HATI DENGAN UBAT TIRUAN..

Bismillahirrahmanirrahim...

GERAM rasanya membaca laporan akhbar mengenai rampasan ubat tiruan yang tidak sudah-sudah. Ada saja pihak tidak bertanggungjawab yang mahu untung cepat tanpa memikirkan risiko bakal dialami pesakit apabila memakan ubat tiruan yang diseludup masuk ke negara ini.Fungsi pihak berwajib haruslah ditingkatkan untuk mengawal gejala ini daripada terus berleluasa.

Perniagaan ubat tiruan berlaku di seluruh dunia, termasuk negara kita. Ia merangkumi 10 peratus daripada bekalan ubat dunia yang membabitkan RM70.4 bilion dan dianggarkan akan terus berkembang pada kadar 13 peratus setahun jika tiada usaha mengekangnya.Apa yang dikatakan ubat tiruan? Ubat tiruan mempunyai bentuk dan warna hampir sama dengan ubat asli tetapi berbeza kandungan bahan aktifnya. Ubat tiruan bukan saja merugikan wang pengguna, bahkan boleh mengancam kesihatan dan nyawa.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ubat tiruan ialah ubat yang:

> Tercemar. Ubat tercemar ialah produk asal yang dicampur dengan bahan lebih rendah mutunya atau tidak diluluskan

> Mengandungi bahan aktif atau bahan kimia yang salah

> Tidak mengandungi bahan aktif langsung

> Jika ada bahan aktif, kuantitinya mungkin tidak tepat, sama ada terlalu sedikit atau banyak

> Mempunyai rasa, konsistensi, rupa yang berlainan atau memberi tindak balas fizikal berbeza apabila dimakan

> Dibungkus dalam bungkusan berbeza. Namun dalam kebanyakan kes, perbezaan pembungkusan ubat tiruan sukar dilihat

> Tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan

Cara mengelak

> Beli ubat daripada farmasi berdaftar atau pakar perubatan saja

> Usah terpengaruh jika ada pihak menawarkan produk pada harga murah

> Usah beli jika bungkusannya mencurigakan atau sudah dibuka

> Periksa tanda label pada produk

> Baca dan periksa label pada bungkusan

> Periksa sebarang perubahan pada bungkusan dengan ubat yang anda sudah beli

> Jangan sekali-kali beli ubat melalui Internet atau telefon

> Pastikan ubat berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dan mempunyai hologram

> Usah beli ubat daripada kedai runcit, kedai kopi, kedai ubat tradisional yang tidak berlesen, gerai tepi jalan atau ejen jualan langsung

> Gunakan budi bicara anda. Pilih ubat yang selamat iaitu disokong kajian saintifik.
Waspada jika ada pihak menawarkan ubat ajaib dan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit yang hanya disokong oleh testimoni pengguna.

Ini kerana reaksi setiap orang terhadap sesejenis ubat adalah berbeza. Ubat yang sesuai untuk individu A mungkin boleh mendatangkan bahaya kepada anda, walaupun kedua-duanya mengalami masalah kesihatan sama.

Untuk meningkatkan kesedaran pengguna terhadap bahaya ubat palsu, Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd menerbitkan buku panduan anti-ubat tiruan dalam bahasa Malaysia, Inggeris dan Cina.Menurut Pengarah Serantau Keselamatan Global Pfizer, Dave Campbell, buku panduan berkenaan mengandungi banyak maklumat mengenai bahaya ubat tiruan dan langkah berjaga-jaga dalam bentuk soal jawab yang mudah difahami.

Buku panduan percuma itu boleh diperoleh dari mana-mana klinik dan farmasi. Pembaca juga boleh menghantar e-mel ke malaysia_counterfeiting@pfizer.com untuk mendapatkan satu salinan buku panduan. Jika anda curiga pada mana-mana produk atau ada maklumat mengenai ubat tiruan, sila hubungi Jabatan Perkhidmatan Farmaseutikal di talian 03-7968 2200 atau hantar e-mel ke pharmacy1@moh.gov.my.


No comments: