Tidak kira digoreng, dibakar atau dibuat sup, ikan haruan sememangnya telah lama menjadi lauk hidangan rakyat Malaysia selain menjadi penawar untuk menyembuhkan luka terutama kepada mereka yang baru menjalani pembedahan dan bersalin.
Ikan air tawar jenis karnivor ini, yang merupakan spesies asli hutan hujan tropika boleh hidup dalam air payau dan biasa didapati di negara-negara rantau ini. Ia terbahagi kepada dua jenis iaitu bersaiz besar dinamakan ikan toman (Channa melanostoma) dan yang kecil ikan haruan (Channa striatus).
Profesor Abdul Manan Mat Jais, dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata "Ikan berkenaan adalah dalam kategori "Order of Channiformes," "Family Channidae" dan "Genus Channa" dan yang saya sedang kaji ialah Channa Striatus."
Beliau berkata terdapat 30 spesies ikan haruan di dunia dengan lapan jenis terdapat di Sarawak, dua di Sabah dan empat di Semenanjung Malaysia.
Toman, bujuk dan haruan adalah dalam satu keluarga tetapi berlainan spesies.
Prof Abdul Manan berkata keunikan haruan dewasa ialah ia menunjukkan perlakuan monogami selain mempunyai daya penguasaan wilayah yang cukup kukuh.
Ikan haruan boleh hidup dalam air yang bertakung, bergerak perlahan, cetek dan berlumpur.
Bagaimanapun, kebiasaannya haruan boleh didapati di kolam, sungai, tasik, terusan pertanian, sawah dan muara sungai. Terdapat laporan menyebut pemancing pernah menangkap haruan bersaiz besar tetapi kebiasaannya berat ikan itu hanyalah sekitar satu kilogram.
PENYELIDIKAN DAN ANALISIS
Prof Abdul Manan berkata beliau memulakan penyelidikan ke atas ikan haruan pada 1985 dan ketika itu beliau terkejut apabila mendapat tahu ikan itu tidak dimasukkan dalam senarai ikan utama Jabatan Perikanan.
"Apa yang saya dapati daripada penyelidikan itu ialah ikan haruan merupakan satu sumber protein yang baik, kira-kira 60-70 peratus. Ia mengandungi lemak yang rendah, hanya kira-kira 20 peratus daripada beratnya berbanding dengan ikan air tawar lain serta daging, kambing, ayam dan makanan laut," katanya.
Haruan mengandungi sejumlah besar Vitamin A. Manakala kehadiran logam berat seperti kalsium, magnesium, tembaga, besi, mangan, nikel, plumbum dan zink adalah lebih rendah daripada paras toksik yang dibenarkan untuk badan manusia.
Prof Abdul Manan berkata kandungan asid arakidonik yang tinggi, yang dianggap luar biasa, dan dengan ketiadaan eikosapentaenoikasi d dalam haruan adalah satu hasil penemuan yang amat menarik.
"Asid Arakidonik adalah petanda bagi prostaglandin. Ia memulakan proses darah menjadi beku dan bertanggungjawab untuk pertumbuhan semula," katanya.
Haruan juga mengandungi asid amino yang penting untuk menyembuhkan luka terutama glisin yang merupakan satu daripada komponen penting kolagen dalam kulit manusia.
Glisin merangkumi asid aspartik dan glutamik akan membentuk molikul protein yang penting untuk pertumbuhan semula dan penyembuhan.
"Oleh itu, ikan haruan mengandungi semua keperluan asas biokimia untuk penyembuhan luka," katanya.
MENGURANGKAN SAKIT SELEPAS PEMBEDAHAN
"Penemuan kami menunjukkan bahawa haruan bukan sahaja menggalakkan penyembuhan luka, malahan mengurangkan sakit selepas pembedahan," katanya.
Beliau berkata dari ujian kekangan perut, pati haruan didapati bertindak sebagai pautan-pekat bagi menghalang tindakan gerak balas.
Lebih menarik lagi, pati haruan dapat meningkatkan keberkesanan morfin.
Prof Abdul Manan berkata penemuan itu memberi platform saintifik kepada rakyat Malaysia, yang memakan ikan haruan untuk satu tempoh masa selepas pembedahan, dapat menghindarkan kesakitan dan penyembuhan luka.
Beliau berkata lendir ikan haruan mengandungi asid oleik dan linolik tak tepu iaitu komponen utama lipid sepenuhnya, dan kandungan kedua-dua asid ini didapati lebih tinggi dalam telur ikan. Telur segar haruan mempunyai jumlah asid arakidonik yang lebih tinggi.
Prof Abdul Manan berkata penemuan ini memberi kemungkinan peluang untuk mendapatkan jumlah optimum asid lemak yang diperlukan untuk menyembuh luka dari bahagian lain ikan haruan tanpa perlu mengorbankan ikan itu.
"Penemuan awal mengenai khasiat anti bakterianya amat mengagumkan dan kami sedang menumpukan kepada spesies yang boleh dihubungkan dengan penyembuhan ulser perut ke atas haiwan dan manusia," katanya.
MAKANAN TAMBAHAN KESIHATAN BERASASKAN HARUAN
"Isinya yang putih, pejal dan tidak bertulang sudah pasti menjadikan haruan satu bentuk makanan serta makanan tambahan yang menjanjikan," kata Prof Abdul Manan.
Beliau berkata ikan haruan mempunyai potensi untuk industri makanan kesihatan kerana ia boleh dijadikan bebola ikan, sosej, salami atau filet.
"Saya berharap untuk melihat haruan sebagai ikan yang boleh diguna secara meluas dalam kehidupan seharian kita dan secara komersial. Kita sepatutnya dengan bangga meletakkan haruan pada paras yang setidak-tidaknya sama dengan salmon atau trout," kata Prof Abdul Manan dan menambah kata beliau sedang melihat kemungkinan untuk memperkenalkan haruan sebagai satu komponen klinikal.
Prof Abdul Manan memenangi pingat gangsa Anugerah Mindex-Innotex untuk produk penjagaan kulit berasaskan haruan pada 1996 dan satu lagi pingat gangsa daripada Institut BioSains UPM pada 2004.
PERMINTAAN TINGGI
Manakala Ketua Eksekutif Cheroh Aquatic Sdn Bhd, Wan Jusoh Zakaria, dari Raub mengakui khasiat ikan haruan memang diketahui umum dan ia mendapat permintaan tinggi di kalangan penduduk berbanding bujuk dan toman.
Beliau mengakui hanya haruan jenis biasa bersaiz antara 300 dan 500 gram dan yang hidup di habitat semula jadi paling digemari orang ramai.
Wan Jusoh berkata pasaran ikan atau benih ikan haruan terutama di kalangan penternak dari dahulu hingga sekarang amat menggalakkan hingga kadang-kadang tidak mencukupi.
Bagaimanapun tidak ramai pengusaha yang berjaya menternak ikan haruan secara komersial kerana ia memerlukan kepakaran yang tersendiri tentang ikan itu.
"Selangor merupakan pengeluar terbesar ikan haruan secara komersial dengan Rawang banyak menghasilkannya," katanya.
Wan Jusoh juga mengakui bahawa permintaan tempatan untuk ikan haruan mencapai jumlah puncak yang baru seperti yang dapat dilihat dengan permintaan yang memberangsangkan untuk filet haruan oleh masyarakat Malaysia.
Saturday, May 16, 2009
ian keli.. KELEBIHANNYA.. (keratan blog)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment